Monday, April 27, 2009

SPRM BOLEH PANTAU MUKTAMAR PAS: GERAK MALAYSIA

Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (GERAK Malaysia) menyokong Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika agensi berkenaan mahu memantau perjalanan pemilihan Muktamar PAS agar bebas daripada rasuah.


Gerak Malaysia berpandangan bahawa pihak PAS boleh membuka ruang kepada SPRM untuk menjalankan pemantauan bagi mengesahkan lagi bahawa Muktamar PAS pada kali ini adalah benar-benar bebas daripada rasuah. Kita juga percaya dengan langkah ini akan memberikan kredit kepada Pas bagi membuktikan parti itu benar-benar tidak terjangkit dengan penyakit rasuah walaupun setelah memenangi PRU-12 dengan berjaya mentadbir di Kedah dan Kelantan dan menjawat jawatan Exco Kerajaan Negeri di Selangor dan juga di Perak sebelum ini.


Gerak Malaysia juga ingin menolak pandangan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor Dr. Che Rosli Che Mat berkaitan penolakkan penglibatan SPRM untuk memantau pemilihan pucuk pimpinan parti itu, Jun ini. Sepatutnya pemimpin itu boleh mencontohi sikap yang diambil oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang pernah membenarkan SPRM menyiasat dakwaan korupsi terhadap menantunya yang akhirnya membuktikan bahawa tidak berlaku sebarang kesalahan rasuah atau salahguna kuasa.


Peranan ahli-ahli PAS yang terlibat dalam pemilihan pemimpin parti amat penting dalam memastikan tidak ada unsur-unsur lobi-melobi yang melibatkan politik wang apatah lagi kejayaan Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS pada hari ini telah mempunyai kuasa mentadbir yang mana boleh menjerumuskan pemimpin ke lembah rasuah jika tidak berhati-hati dengan perkara ini.


Kuasa yang dipunyai oleh pemimpin banyak memerangkap mereka untuk terlibat dengan penyakit korupsi dan salahguna kuasa jika ahli di bawah tidak memerhatikan sikap dan tanggungjawab lantas melaporkan gejala korupsi yang cuba dimulakan oleh pemimpin walaupun ianya suatu nilai yang kecil.



Gerak Malaysia juga ingin mengucapkan selamat bermuktamar kepada para perwakilan PAS dan berharap agar parti itu terus mengekalkan imej yang bebas daripada rasuah politik jika mahu terus diberikan kepercayaan oleh rakyat terutamanya generasi muda. PAS tidak perlu bimbang dengan pemantauan SPRM jika menyakini pemilihan parti itu benar-benar bebas daripada rasuah politik.


MOHD NAZREE MOHD YUNUS




Pengerusi GERAK Malaysia

No comments:

Post a Comment